VENDOR BINA KAPAL TLDM MUNGKIN GULUNG TIKAR

  • Admin

  • 12 Mar, 2019

Sebanyak 40 syarikat yang menjadi vendor dan kontraktor kepada PSC-Naval Dockyard Sdn Bhd (PSC-ND) yang terlibat dalam pembinaan enam Kapal Peronda Generasi Baru (NGPV) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM5.4 bilion, mungkin terpaksa "gulung tikar".

Syarikat berkenaan mendakwa operasi mereka kini dalam keadaan tenat kerana PSC-ND, yang dimiliki oleh ahli perniagaan Tan Sri Amin Shah Omar Shah, tidak membuat pembayaran sejak enam bulan lalu dan bayaran tertunggak kepada 40 syarikat tersebut kini berjumlah RM180 juta.

Kemelut terbaru itu dikhuatiri akan menjejaskan lagi projek berkenaan yang sebelum ini dilaporkan mengalami masalah. Dua buah kapal NGPV yang sepatutnya siap tahun lalu hingga kini masih belum dapat diserahkan kepada TLDM kerana menghadapi masalah teknikal.

Menurut laporan Bernama , wakil kumpulan itu, Adzemi Endut dan AlBakri Ali berkata dalam satu sidang media di Lumut hari ini, mereka telah mengemukakan satu memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai masalah itu.

Memorandum lapan muka surat itu ditandatangani oleh kesemua wakil syarikat terbabit yang kebanyakannya berpusat di Lumut.

"Sebanyak 400 pekerja kami sebahagian besarnya tenaga profesional seperti jurutera yang berpendalaman lebih 10 tahun dalam pembinaan kapal akan menganggur jika kami berhenti operasi.

"Kami sudah tidak dapat bertahan lagi...kami diburu oleh institusi kewangan, gaji pekerja sudah beberapa bulan tidak dibayar, ini soal makan minum mereka dan anak isteri. Ramai pekerja berpengalaman telah berhenti dan mencari kerja lain," kata AlBakri.

Tiada penjelasan dari PSC-ND

Adzemi pula berkata pihak pengurusan PSC-ND tidak memberikan sebarang penjelasan berhubung kelewatan pembayaran itu dan keadaan itu menyebabkan syarikat-syarikat terbabit terpaksa memperlahankan semua kerja yang dijalankan.

Beliau mendakwa empat buah NGPV yang dalam pembinaan iaitu PV03 dan PV04 kini hanya 50 peratus siap manakala PV05 dan PV06 pula hanya 15 peratus.

"Kami mengemukakan memorandum ini sebagai jalan terakhir...kami merayu kerajaan supaya campurtangan menangani masalah kami dan PSC-ND. Kegagalan PSC-ND menyiapkan kapal-kapal NGPV membabitkan maruah dan keselamatan negara serta menjejaskan matlamat kerajaan mewujudkan industri maritim yang berwibawa," katanya.

Adzemi yang juga Pengarah Urusan Biru Klasik Sdn Bhd berkata syarikatnya menunggu bayaran sebanyak RM10 juta sejak enam bulan lalu.

Katanya, PSC-ND tertangguh bayaran antara RM2 juta dan RM15 juta kepada setiap daripada 40 buah syarikat terbabit.

Beliau berkata dalam memorandum itu, mereka turut mencadangkan supaya kerajaan mengambil kepentingan dalam PSC-ND agar kelemahan pengurusan atau kewangannya dapat diatasi.

Beliau berkata laporan bahawa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dikatakan akan mengambil alih PSC-ND sehingga kini belum ada kepastian.

PSC-ND mengambil alih Limbungan TLDM bawah program penswastaan pada 1995 dan pada 1998 dan ia diberikan kontrak membina 27 buah kapal NGPV termasuk infrastruktur dan penyelenggaraan.

Pesanan peringkat pertama melibatkan enam buah NGPV bernilai RM5.4 bilion.

Source: https://www.malaysiakini.com/news/35915

InvoiceNiaga Team

InvoiceNiaga is here not only to provide access to the small business funding you need, but to also help you grow your business through free marketing tips, webinars, tools and more. Is there something you'd like us to cover or want to get your small business featured on our blog? Send us a note at content@invoiceniaga.com.