PEMBIAYAAN KONTRAK 101

  • Admin

  • 06 Dec, 2019

Oleh NOR IDAYU BOSRO


TERDAPAT ramai pemilik perniagaan khususnya usahawan industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini yang berhasrat untuk mengembangkan perniagaan mereka secara lebih meluas.

Berdasarkan portal SME Info, sebanyak 98.5 peratus atau 907,065 pertubuhan perniagaan di Malaysia adalah PKS meliputi keseluruhan saiz dan sektor perniagaan.

Kira-kira 4.3 peratus daripada jumlah tersebut adalah daripada sektor pembinaan dengan kira-kira 39,056 adalah kontraktor di seluruh negara.

Sudah menjadi asam garam dalam bidang perniagaan yang mana aspek kewangan adalah perkara yang paling utama dalam memastikan kelangsungan operasi syarikat.

Perniagaan atau syarikat sememangnya memerlukan satu dana dan pembiayaan supaya perniagaan mereka lebih maju dan berdaya saing.

FASILITI BERBEZA DARIPADA PEMBIAYAAN KONVENSIONAL

Oleh sebab itu, banyak institusi kewangan dan juga kerajaan Malaysia sendiri menawarkan pembiayaan dan juga geran perniagaan kepada usahawan bertujuan membantu mereka mengembangkan perniagaan masing-masing.

Bagaimanapun, banyak syarikat kecil dan sederhana mempunyai masalah dari segi modal kewangan ditambah lagi dengan limitasi tertentu yang dikenakan oleh pihak bank sebagai penyedia kewangan konvensional di Malaysia.

Oleh yang demikian, segala proses permohonan pinjaman perlu diteliti dan disemak terlebih dahulu dengan penuh sistematik sebelum pembiayaan dapat diluluskan berdasarkan syarat kelayakan.

Berbeza dengan skim pembiayaan biasa yang ditawarkan oleh pihak bank, fasiliti berbentuk pembiayaan kontrak adalah salah satu pembiayaan khusus buat usahawan atau kontraktor.

PEMBIAYAAN KONTRAK

Pembiayaan kontrak atau pemfaktoran adalah kemudahan  fleksibel yang membolehkan kontraktor untuk menukar jualan kredit (invois) kepada tunai dengan menjual invois kepada syarikat pembiaya.

Ia adalah salah satu kaedah alternatif bagi membolehkan kontraktor untuk mendapat akses kepada pembiayaan selain daripada yang disediakan oleh institusi perbankan tradisional.

Bagi kontraktor yang menerima kontrak daripada Kementerian, Jabatan atau Agensi Kerajaan, mereka boleh memohon pembiayaan kontrak ini bagi membantu melaksanakan projek yang diterima.

Kemudahan pembiayaan ini adalah bertujuan untuk membiayai pelaksanaan kontrak hingga siap sepenuhnya. Pemohon mestilah kontraktor utama atau sub-kontraktor yang dilantik sahaja.

MEKANISME PEMBAYARAN

Mekanisme pembiayaan utama adalah melalui cara penyerahan terus perolehan kontrak daripada pihak-pihak pemberi kontrak yang diluluskan kepada pihak pembiaya. Pembiayaan ini ditawarkan secara pra-pelaksanaan atau pasca-penyiapan, atau gabungan kedua-duanya.

Klien yang mendapat pembiayaan kontrak hendaklah mengemukakan invois kepada syarikat pembiaya sebagai pihak ketiga.

Syarikat pembiaya kemudiannya akan membayar wang pendahuluan antara 80 hingga 90 peratus daripada nilai invois berkenaan kepada kontraktor .

Bakinya iaitu antara 10 hingga 20 peratus akan dibayar selepas pembayaran sepenuhnya diterima daripada jabatan berkenaan.

Berdasarkan Pekeliling Kementerian Kewangan bertajuk Kemudahan Pembiayaan Dalam Perolehan Kerajaan, agensi kerajaan hendaklah mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dalam melaksanakan pemfaktoran ini.

Seterusnya, urusan pemfaktoran sesuai dilaksanakan di awal kontrak.  Bagaimanapun, ia boleh dipohon di peringkat pertengahan kontrak dengan syarat semua peraturan yang telah ditetapkan adalah dipatuhi sepenuhnya.

 

PEMBIAYAAN KONTRAK JUGA DIKENALI SEBAGAI PEMFAKTORAN

SYARAT URUSAN PEMBIAYAAN

Sebelum menandatangani surat pemberitahuan yang menyatakan persetujuan kepada urusan pembiayaan, pegawai yang bertanggungjawab mesti memastikan kontrak berkenaan belum pernah diserah hak kepada mana-mana pihak sekalipun.

Syarat-syarat lain mengenai urusan pemfaktoran yang perlu dipatuhi ialah:

 1. Surat pemberitahuan hendaklah ditandatangani dalam tiga (3) salinan iaitu untuk simpanan agensi, kontraktor/pembekal dan syarikat pemfaktor. Hanya surat pemberitahuan seperti ini boleh ditandatangani oleh agensi Kerajaan. Sebarang pindaan kepada surat pemberitahuan ini tidak dibenarkan tanpa persetujuan Kementerian Kewangan; dan

 2. Satu kontrak pemfaktoran hanya untuk satu kontrak sahaja dan urusan pemfaktoran tamat apabila kontrak berkenaan tamat dan bayaran bagi kontrak tersebut telah diselesaikan.

Bagi kerja requisition/sebut harga yang melibatkan satu bayaran sahaja kaedah pemfaktoran perjanjian dilakukan dengan cara kontraktor mengadakan satu pemfaktoran dengan satu syarikat pembiaya yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan kontraktor memfaktor kepada syarikat berkenaan.

Tatacara ini hanya memerlukan kontraktor dan syarikat pembiaya menandatangani satu perjanjian pemfaktoran dan mendapat kelulusan Pegawai Penguasa bagi bayaran yang difaktorkan kepada syarikat berkenaan.

Kerajaan adalah tidak terikat kepada kadar faedah atau syarat-syarat lain yang telah dibuat di antara pihak kontraktor dan syarikat pembiaya.

KELEBIHAN PEMBIAYAAN KONTRAK

Terdapat banyak kelebihan yang akan memanfaatkan kontraktor menerusi pembiayaan kontrak. Antara kelebihan itu termasuklah permohonan mudah dan pantas tanpa perlu mencagarkan aset  seperti  geran rumah, kereta dan lain-lain.

Selain itu, kontraktor boleh mendapatkan bekalan secara back-to-back untuk melaksanakan projek tanpa perlu mengeluarkan modal awal. Kontraktor juga memperoleh tunai dengan kadar segera sekali gus membolehkan majikan membayar gaji pekerja dan pembekal serta memastikan kos operasi syarikat dapat ditanggung.

Di samping itu, pembiayaan kontrak juga membantu melancarkan aliran tunai syarikat dan membolehkan kredit syarikat diuruskan dengan lebih cekap dan bersistematik.

Keupayaan dari segi kewangan secara tidak langsung akan melonjakkan jualan sekali gus membuka peluang perniagaan yang lebih meluas.

KEUNIKAN FASILITI

Pembiayaan kontrak membolehkan perniagaan dengan skor kredit rendah dibantu melalui  pembiayaan sehingga RM100 juta.

Kaedah ini juga relevan memandangkan ia dibenarkan dalam urusan perolehan kerajaan dengan syarikat-syarikat pembiaya yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Selain itu, utamanya adalah pembiayaan kontrak juga tidak berasaskan riba menerusi konsep Bai’ al Dayn yang merupakan satu bentuk perniagaan di mana suatu akad jual beli dengan objek jual belinya adalah hutang (Dayn).

Konsep Bai Al-Dayn sebenarnya merujuk kepada pembiayaan hutang iaitu peruntukan sumber kewangan yang diperlukan oleh bidang pembekal, pembinaan dan perkhidmatan dengan cara menjual atau membeli akaun belum terima iaitu invois.

Akad Bai Al-Dayn membenarkan seseorang yang mempunyai hak mengutip hutang yang bakal matang pada masa hadapan menjual haknya kepada orang lain dengan harga yang dipersetujui bersama.

Bai Al-Dayn merupakan satu daripada kaedah yang digunakan dalam sistem perbankan Islam di Malaysia bagi mewujudkan sumber-sumber kewangan yang diperlukan oleh bidang-bidang terbabit melalui diskaun dokumen-dokumen dan surat-surat perdagangan (invois) mengikut peraturan tertentu.

Dokumen-dokumen dan surat-surat sekuriti yang membuktikan sabit hutang yang timbul daripada urusan perniagaan sahaja boleh diterima untuk transaksi pembelian hutang.

Secara ringkasnya, pembiayaan kontrak merupakan pembiayaan kewangan yang sesuai digunakan oleh pelbagai sektor dan industri samada syarikat pembekal, pengilang atau penyedia perkhidmatan.

Secara jelasnya, ia adalah proses menjual invois syarikat anda kepada INVOICE NIAGA untuk mendapatkan pendahuluan tunai dengan kadar segera.

InvoiceNiaga Team

InvoiceNiaga is here not only to provide access to the small business funding you need, but to also help you grow your business through free marketing tips, webinars, tools and more. Is there something you'd like us to cover or want to get your small business featured on our blog? Send us a note at content@invoiceniaga.com.

Cookies are disabled.