SARANAN KUASAI IBS

  • Admin

  • 05 Dec, 2019

KONTRAKTOR China menguasai industri pembinaan di Malaysia berbanding syarikat kontraktor asing lain, apabila jumlah projek yang dikendalikan oleh syarikat republik itu meningkat sekali ganda kepada 264 projek bernilai RM31 bilion bagi tempoh 2018 dan 2019.

Peningkatan itu jauh lebih besar berbanding 111 projek bernilai RM22.5 bilion yang dilaksanakan kontraktor China di negara ini pada 2017.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, rekod CIDB menunjukkan kontraktor China kini memiliki kontrak kerja yang jauh lebih besar dari segi jumlah dan nilai projek pembinaan dalam kalangan syarikat kontraktor asing.

Katanya, berdasarkan perangkaan 2013, syarikat China hanya berada di kedudukan kedua dengan 16 projek bernilai RM3.3 bilion selepas Jepun, sebelum melonjak menerajui pasaran menerusi 33 projek bernilai RM8.6 bilion mengatasi Korea Selatan dan Jepun .

“Pada 2017, syarikat China bukan hanya memiliki kehadiran terbesar di Malaysia, malah angka projek dan nilainya menyaksikan lonjakan yang sangat ketara.

“Angka terbabit menunjukkan betapa kritikalnya supaya kontraktor dari China perlu dilengkapi maklumat perundangan yang dikuatkuasakan di Malaysia, terutama membabitkan Akta 520 supaya aktiviti pembinaan dapat berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Garis Panduan Kontraktor China di Malaysia, di Kuala Lumpur pada 29 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Asri berkata, CIDB merancang untuk menjalankan kajian kadar penggunaan pekerja, syarikat, dan profesional tempatan dalam projek dilaksanakan oleh syarikat China di Malaysia.

Katanya, ia bertujuan untuk mendapatkan gambaran lebih luas dan fakta sebenar penggunaan pekerja, syarikat, profesional serta bahan pembinaan tempatan oleh syarikat kontraktor dari China bagi menyusun strategi yang tepat dalam usaha meningkatkan pembabitan syarikat dan bahan Malaysia.

“Dalam majlis ini, saya menggesa kontraktor China supaya menggunakan kontraktor tempatan dalam bidang tertentu dan menggunakan bahan pembinaan dari Malaysia.

“Ini strategi menang-menang kerana apabila menggunakan bahan dan kemahiran tempatan, maka kos operasi mereka akan turun, lebih-lebih lagi kini (kos) barang dan pekerja dari China kebanyakannya lebih tinggi daripada tempatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Asri menyeru kontraktor bumiputera untuk memperluaskan pembabitan mereka dalam Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang kini semakin mendapat perhatian dalam industri pembinaan.

Syarikat kontraktor yang mempunyai perniagaan kukuh juga perlu membuka rangkaian perniagaan perkakasan sebagai langkah mempertingkatkan pembabitan bumiputera dalam segmen niaga berkenaan.

"Sehingga kini, pembabitan syarikat bumiputera dalam segmen perniagaan itu kekal pada tahap amat rendah.

“Mereka boleh membuka rangkaian perniagaan hardware (perkakasan) di seluruh negara, yang secara langsung boleh membantu kontraktor bumiputera baharu mendapatkan bahan dan barang keperluan di tapak pembinaan secara mudah.

Tegasnya, syarikat Bumiputera juga tidak boleh terlalu bergantung kepada tender kerajaan semata-mata kerana wujud banyak lagi peluang perniagaan di sektor swasta dan kontrak di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Perkara itu turut dipersetujui Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Sama yang menyarankan kontraktor bumiputera agar tidak merebut projek kerajaan semata-mata.

Beliau berkata, mereka sebalik haruslah memperluas rantaian kenalan ke pihak swasta juga sekali gus terus bersaing dalam cabaran yang lebih luas.

Katanya, mengikut levi yang dikutip CIDB jumlah projek yang ditawarkan adalah melebihi RM220 bilion namun projek kerajaan hanya 20 peratus sahaja daripada jumlah itu dan selainnya adalah projek swasta.

"Kerajaan telah memberikan latihan, seminar, tunjuk ajar dalam mendapatkan projek apabila mana-mana kontraktor mendapat lesen yang sah dan telah diperakui.

"Adalah tidak adil dan munasabah jika kita salahkan kerajaan mahupun rakan kontraktor lain yang mendapat projek atau dilantik kerajaan. Ini bukan masanya untuk salahkan sesiapa.

"Kita mestilah harus merebut peluang dan menambah ilmu dalam bidang pembinaan kerana dunia tanpa sempadan semakin berubah dan memerlukan kita terus berdaya saing dan lebih maju lagi," katanya.

Katanya, pelbagai tawaran pasti tiba khasnya ketika negara sedang rancak membangunkan infrastruktur pengangkutan seperti Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Tren Aliran Transit Massa (MRT), Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL)  dan seharusnya peluang ini diintai semua kontraktor.

"Kerajaan telah pun memenuhi permintaan persatuan kita dengan memberikan kontrak kepada kontraktor kelas G1,G2, dan G3 untuk projek berkaitan LRT dan MRT malah akan memberikan lagi kepada mereka untuk projek ECRL menerusi sistem cabut undi," tegasnya.

 

 

InvoiceNiaga Team

InvoiceNiaga is here not only to provide access to the small business funding you need, but to also help you grow your business through free marketing tips, webinars, tools and more. Is there something you'd like us to cover or want to get your small business featured on our blog? Send us a note at content@invoiceniaga.com.

Cookies are disabled.